Tuesday, December 9, 2008

Berapa tahun lagi perlu tunggu? Lastest Media about P11

Berapa tahun lagi perlu tunggu?

SEBAHAGIAN pembeli menunjukkan projek pembinaan rumah mereka yang terbengkalai di Presint 11, Putrajaya, ketika ditemui baru-baru ini.
- Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI


PUTRAJAYA 8 Dis. - Jika sekali fikir, tidak mungkin wilayah pentadbiran kerajaan di Putrajaya harus menghadapi situasi yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik bandar terpenting itu apatah lagi membabitkan beberapa projek tidak siap.

Tetapi itulah hakikatnya yang berlaku apabila sebanyak 211 pembeli rumah di Presint 11 di sini terpaksa menunggu bertahun-tahun lagi untuk memiliki rumah yang dijanjikan siap tiga tahun lalu.

Projek perumahan yang dulunya dikendalikan di bawah kontraktor Ariff Cerah Sdn. Bhd. (ASCB), anak syarikat Perembajaya Holdings Sdn. Bhd., kini dihentikan tanpa pemaju setelah Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. (PJH) menangguhkan hasrat untuk mengambil alih projek itu.

Bimbang dengan situasi itu, beberapa pembeli rumah tampil menyatakan kekesalan mereka atas sikap lepas tangan beberapa pihak yang menghentikan projek tersebut tanpa sebab.

Menurut Pengerusi Persatuan Pembeli Rumah Presint 11, Dr. Abdul Onny Yahya, projek perumahan yang dimulakan pada tahun 2002 itu sepatutnya mula diserahkan kepada pembeli tiga tahun selepas itu.

Bermula dari tahun itu, menurut Onny, pembeli sudah mula membuat ansuran pinjaman perumahan walaupun sekadar bayangan untuk memiliki rumah itu.

Bagaimanapun, hasil keprihatinan kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, jelas Onny, pada Mei lalu, pembeli telah dijemput menghadiri mesyuarat bersama pemaju untuk meminta persetujuan membenarkan PJH mengambil alih projek dari ACSB.

"Kami telah bersetuju dan menandatangani perjanjian jual beli yang baru dengan pemaju baru iaitu PJH dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

"Berikutan itu, PJH telah diarahkan untuk mengambil alih projek ini seterusnya memulakan kerja pemulihan yang terbengkalai namun sehingga kini PJH masih tidak meneruskan projek ini," katanya kesal.

Onny berkata, kesemua pembeli berasa kesal kerana projek ini masih juga tergendala walaupun syarat-syarat yang ditetapkan telah pun dipersetujui sehinggakan terpaksa menghabiskan masa bagi menuntut hak dan pembelaan.

"Kami sudah bersetuju dengan semua syarat yang ditetapkan jadi tidak ada sebab kenapa ia masih tertangguh," tegasnya.

Projek perumahan yang terbengkalai itu merupakan projek persendirian membabitkan lima buah projek pembinaan iaitu Garden Resort, Amber Homes, Saujana Aster, Citrine S/D yang termasuk pembinaan lot kedai dan ruang pejabat.

"Ada di antara projek ini sudah 80 peratus siap tetapi ada juga yang baru mencapai 30 peratus pembinaannya.

"Kami merayu supaya projek ini diteruskan kerana kami beli rumah ini untuk diduduki bukan untuk tujuan lain," katanya.

Salah seorang pembeli, Azali Adnan, 47, berkata, beliau tidak menyangka sama sekali apatah lagi terlintas di fikiran bahawa projek perumahan di Putrajaya itu akan terbabit dalam masalah projek terbengkalai.

"Saya yakin untuk membeli rumah di sini memandangkan Putrajaya adalah sebuah bandar pentadbiran kerajaan yang tidak mungkin berlaku masalah sebegini.

"Jika terdapat projek tidak siap seperti ini akan memburukkan pemandangan dan memberikan imej yang tidak baik kepada Putrajaya," katanya.

Seorang lagi pembeli, Shafiq Azam, 29, turut menyuarakan kebimbangan jika projek tersebut terus dilengahkan kemungkinan pemaju yang diamanahkan akan diisytiharkan muflis.

"Bagaimana dengan nasib kami jika pemaju itu diisytiharkan muflis?

"Sebelum perkara ini berlaku, kami mohon sangat projek ini diterus dan disiapkan. Kami tidak mahu salahkan sesiapa dan sedia bertemu semula dengan pemaju jika masih tidak berpuas hati dengan syarat yang ditetapkan oleh mereka sendiri," katanya.

Seorang lagi mangsa, Ismadee Ismail, 38, menceritakan kekecewaan keluarga seorang pembeli yang tidak sempat menduduki rumah barunya kerana telah meninggal dunia.

"Keluarga Allahyarham sangat kecewa dengan hal ini, jadi kami tidak mahu pelbagai lagi perkara yang tidak diingini berlaku.

"Ada juga di antara kami akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi, besarlah harapan kami agar projek perumahan ini segera diteruskan," rayu beliau.

Baru-baru ini, masalah projek perumahan terbengkalai di Presint 11 turut dibangkitkan oleh 14 subkontraktor yang terlibat kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah berikutan tunggakan hutang yang tidak dibayar oleh PJH kepada mereka.

Atas usaha Murugiah mengaturkan satu mesyuarat yang turut dihadiri Biro Pengaduan Awam (BPA) dan subkontraktor berkenaan, PJH membuat persetujuan bersyarat untuk membayar hutang tertunggak sebanyak RM33 juta.

Sebelum itu, kesemua subkontraktor tersebut yang terlibat dengan projek pembangunan 444 unit rumah kuarters kerajaan di Presint 11 di Putrajaya tetapi gagal menerima bayaran daripada PJH telah membuat aduan melalui laman web Warkah Untuk PM.

PJH merupakan pemegang saham sebanyak 30 peratus dalam projek itu bersama Perembajaya Holdings.

Masalah yang dibangkitkan oleh subkontraktor tersebut merupakan projek perumahan membabitkan kuarters kerajaan tetapi mungkin pihak kementerian terlepas pandang bahawa ia turut melibatkan projek perumahan persendirian.

Projek perumahan terbengkalai semakin kerap didengari akibat beberapa pemaju berdepan dengan masalah kewangan. Dalam hal ini siapakah yang harus dipertanggungjawabkan - pemaju atau kerajaan.

Namun yang pasti mangsa kepada masalah ini ialah pembeli yang menaruh keyakinan dan harapan tinggi untuk memiliki sebuah rumah yang selesa bagi membina keluarga setelah berusaha keras dan sanggup berhutang tanpa menjangka hutang perlu dibayar tetapi rumah entah bila siapnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1209&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_20.htm&arc=hive

No comments: